Wednesday, November 4, 2009

GO SKBJ GO!


Berikut adalah artikel berkenaan Muhd Irfan Haqqim Azhar MS, pelajar tahun 6 SK Jenjarom, dalam akhbar Sinar Harian hari ini. Semoga ia sebagai satu motivasi kepada pemain-pemain catur SKBJ untuk menyinar dalam sukan catur di persada negara dan dunia. Murid-murid SKBJ sudah mula menempa nama dalam sukan catur terutamanya di peringkat daerah Petaling Perdana. Di Kejohanan Catur MSS Daerah Petaling Perdana tahun ini, pasukan catur SKBJ berjaya menjadi johan dalam setiap kategori iaitu individu dan berpasukan bagi kedua-dua Lelaki dan Perempuan.

Yang lebih membanggakan, enam orang dari jumlah keseluruhan 8 wakil Bawah-12 bagi Daerah Petaling Perdana MSSD adalah pemain-pemain catur SKBJ. Salah seorang dari enam orang wakil daerah tersebut, akhirnya berjaya mewakili Negeri Selangor dan berjaya menggondol pingat emas catur berpasukan Bawah-12 Perempuan di Kejohanan Catur MSSM.

Semoga SKBJ akan bersama-sama SK Jenjarom dalam mengharumkan nama di persada sukan catur negara.


SK Jenjarum lahirkan pemain catur antarabangsa

Buat tahun ketiga berturut-turut, Sekolah Kebangsaan Jenjarom sekali lagi berjaya melahirkan pemain catur yang berjaya menakluki arena berkenaan di peringkat kebangsaan dan seterusnya terpilih mewakili negara ke kejohanan besar di persada antarabangsa.

Sebelum ini, dua pelajar sekolah tersebut, Muhd Syakir Shazmeer Azhar dan Puteri Rifqah Fahada Azhar berjaya mewakili negara ke Kejohanan Catur Remaja Dunia 2007 di Turki dan 2008 di Vietnam.

Kini giliran Muhd Irfan Haqqim Azhar, pelajar tahun 6 Tanjung SK Jenjarum pula akan mewakili negara ke kejohanan besar menyambung kejayaan dua pelajar itu yang juga merupakan abang dan adiknya sebelum ini yang berjaya hingga ke peringkat dunia.

Muhd Irfan Haqqimakan menyertai Kejohanan Catur Asean Primary School Sports Olympiad di Jakarta, Indonesia bersama Skuad Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) pada 3 hingga 9 November ini.

Sebaik tamat kejohanan tersebut, beliau akan terus berangkat ke Kejohanan Catur Remaja Dunia di Antalya, Turki bersama skuad Remaja Negara pada 9 hingga 25 November ini dan akan menyertai kategori bawah 12 tahun dalam kedua-dua kejohanan berkenaan.

Muhd Irfan Haqqim adalah Johan MSS Selangor Bawah 12 Tahun 2009 dan Naib Johan MSS Malaysia 2009, pernah menyertai

Asean Masterskill Chess Championship 2007 di Shah Alam, Singapore-Malaysia Chess Challenge 2007 di Singapura dan Kejohanan Catur Remaja Asean di Vietnam pada 2008 .

Guru Penasihat Kelab Catur SK Jenjarom, Abd Rahim Ismail berkata, kejayaan ketiga-tiga beradik ini akan menyuntik semangat pelajar yang lain untuk turut mengikuti jejak langkah mereka berjaya ke peringkat antarabangsa.

“Muhd Irfan akan menyambung terus penerbangan ke Turki melalui Singapura sebaik saja skuad MSSM tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2 petang 9 November ini.

“Kita harapkan semoga Muhd Irfan dapat menangani masalah kepenatan akibat perjalanan panjang dengan jayanya dan tidak merencatkan persembahannya di Turki nanti,” katanya.

Abd Rahim berkata, cabaran dan persaingan sengit sudah pasti akan dilaluinya khasnya di Turki yang akan menemukannya dengan pemain pemain handalan dari seluruh dunia khasnya dari Amerika Syarikat, India, China, Rusia, negara-negara Eropah dan negara bekas jajahan Soviet Union (Rusia) dan lain-lain.

Sementara itu, Guru Besar SK Jenjarom, Zainal Ulum Ahmad Kasah berkata, pihaknya berharap agar pemain pelapis yang ada dapat meneruskan kecemerlangan seperti ini.

“Kita harap pemain-pemain pelapis yang kita ada dapat membantu pasukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Kuala Langat khasnya dan pasukan MSS Selangor amnya untuk edisi edisi peringkat kebangsaan pada tahun-tahun yang mendatang.

“Ia sebagai bagi meneruskan tradisi dan kesinambungan dari kejayaan yang telah sedia ada iaitu menjadikan SK Jenjarom sebuah sekolah yang berwatak dan dikenali, baik dalam bidang kokurikulum mahupun akademik,” katanya.


No comments: